Sabtu, 31 Januari 2009

Presiden dan kerajaan Turki mengalu-alukan bantahan Erdogan di Davos



Presiden Parti Saadet: Kami sokong kerajaan demi kepentingan Palestin

30.1.2009

Ankara - Pusat Informasi Palestin

Presiden Turki, Abdullah Gul memuji langkah Perdana Menterinya, Recep Tayyip Erdogan yang menarik diri daripada forum Davos setelah beliau dihalang memberi komentar terhadap ucapan Presiden regim Zionis, Simon Peres tentang isu perang di Gaza.

Gul berkata dalam satu sidang akhbar hari ini (Jumaat), “jika berlaku sebarang tindakan buruk terhadap Perdana Menteri Turki, maka tiada siapa boleh mendiamkannya atau tidak mengendahkannya,” sebagai isyarat kepada layanan tidak adil terhadap Erdogan dan apa yang dilakukan Erdogan adalah suatu yang tepat.

Gul menambah Turki adalah negara besar dan berpengaruh di rantau tersebut, yang sentiasa berusaha demi keamanan dan perdamaian. Beliau menegaskan semua pihak patut memaklumi hakikat ini dan mengambil manfaat daripadanya. Jika ada sesiapa yang tidak ingin mengambil faedah daripada peranan Turki, itu masalah dia.

Beberapa orang menteri kerajaan Turki, ketua-ketua parti dan pertubuhan-pertubuhan awam Turki turut mengalu-alukan tindakan Erdogan yang mempersoalkan sikap dualisme pihak penganjur forum Davos, tindakannya menolak alasan Peres dan simpatinya terhadap penduduk Gaza.

Menteri Pendidikan Turki, Husain Shilik berkata bantahan Erdogan adalah tepat sementara Menteri Alam Sekitar Turki, Fisal Arooglu pula menegaskan apa yang dilakukan oleh Erdogan sebenarnya adalah eksperi perasaan rakyat Turki keseluruhannya.

Ketika memberikan komentar terhadap kejadian tersebut, Presiden Parti Saadet Turki, Nukman Kurtulmash turut mengalu-alukan tindakan Erdogan dan meminta agar Erdogan tidak menarik balik pendirian tersebut serta menegaskan partinya akan mendokong pendirian kerajaan bersama-sama dengan rakyat Turki dalam setiap isu yang memberikan kepentingan kepada rakyat Palestin.

Ketua Dewan Perniagaan dan Bursa Saham Turki, Rifat Hisaljikli berkata dalam satu kenyataannya hari ini (Jumaat), “pendirian Perdana Menteri kami sebenarnya menggambarkan perasaan kami keseluruhannya,” sambil menegaskan Erdogan berdiri di pihak yang benar dan adil dalam satu dunia yang menganggap hanya orang yang kuat berada di pihak yang benar.

Ketua Kesatuan Sekerja, Saleem Oslu berkata dalam satu kenyataannya menyokong penarikan diri Erdogan dari forum Davos sambil menegaskan langkah tersebut adalah suara hati rakyat Turki dan kemanusiaan, serta pendirian yang diambil oleh Erdogan adalah pendirian yang mulia ketika beliau menolak dakwaan palsu Peres.


Sumber: Palestin info (Arabic)
Penterjemah: muhajir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.