Sabtu, 31 Januari 2009

HAMAS kuasa utama, tidak boleh diketepikan


Gaza – 31/1/2009

HAMAS menegaskan kenyataan Blair, wakil jawatankuasa empat pihak (Amerika Syarikat, PBB, Russia dan Kesatuan Eropah) ke Timur Tengah sebagai ulang tayang bagi senario lama dan bahawa semua percubaan mencampuradukkannya dengan proses damai adalah percubaan yang sia-sia dan tidak dipersetujui oleh HAMAS sejak dahulu dan oleh beberapa pihak Arab dan antarabangsa. HAMAS juga menegaskan kenyataan ini dalam masa yang sama adalah pengiktirafan bahawa HAMAS adalah kuasa utama dalam isu Palestin yang mesti diambil kira.

Blair berkata dalam satu kenyataan akhbar bahawa HAMAS mestilah dilibatkan dalam proses damai, tetapi setelah ia meninggalkan penentangan dan perjuangan serta mengiktiraf negara penjajah Israel.

Mushir al-Misri, setiausaha blok HAMAS dalam parlimen menyifatkan kenyataan Blair sebagai suatu yang bodoh dan tidak mempunyai nilai serta menganggapnya sebagai tindakan mengulangi semula halangan-halangan sama yang digariskan oleh barat sebagai perisai dan alasan bagi menolak proses demokrasi di Palestin. Sebagaimana kenyataan tersebut bertujuan meneruskan sekatan terhadap rakyat Palestin dan memberikan pelindung kepada regim Zionis untuk terus bertindak melakukan jenayah yang terakhirnya serangan terhadap Gaza baru-baru ini. Ia juga sebagai alasan untuk tidak berdialog dan berinteraksi dengan parlimen Palestin dan kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat.

Sumber: Palestin Info (Arabic)
Penterjemah: muhajir

Abu Zuhri: Kita sedang mengkaji cadangan perdamaian Mesir, isu Shaleet ditutup

Damsyik – 27/1/2009

HAMAS menegaskan ia telah menerima cadangan Mesir tentang plan perdamaian dengan regim Zionis di Semenanjung Gaza dan institusinya sedang mengkaji cadangan tersebut dengan mendalam serta akan memaklumkan kepada Kaherah tentang pendiriannya terhadap isu tersebut dalam masa dua hari.

Sami Abu Zuhri, jurucakap HAMAS memaklumkan dalam satu kenyataan kepada ‘Quds Press’ bahawa delegasi HAMAS ke Kaherah sekarang berada di Damsyik. Beliau memberitahu, “kami telah menerima cadangan Mesir berkenaan plan gencatan senjata yang sekarang sedang dikaji dengan teliti oleh pihak-pihak berkenaan dalam HAMAS. Apa yang penting bagi kami ialah pembukaan sebenar semua pintu masuk dan penamatan segala bentuk kepungan dan pencerobohan.”Walau bagaimana pun, Abu Zuhri enggan mendedahkan butiran lanjut cadangan yang dibawa oleh delegasi HAMAS ke Kaherah. Tetapi beliau menegaskan percubaan untuk mengaitkan antara cadangan gencatan senjata dengan pembebasan Gelad Shaleet, tentera Zionis yang ditawan tidak akan berjaya. Beliau berkata, “semua cadangan sedang dikaji dengan teliti.

Tetapi isu Shaleet hanya berkait dengan isu tawanan yang tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan isu gencatan senjata yang perbincangannya sedang berlangsung sekarang. Israel cuba untuk mengeksploitasi perbincangan gencatan senjata sekarang untuk membebaskan Shaleet, tetapi bagi kami, isu ini ditutup dan syarat-syaratnya sudah sedia dimaklumi oleh semua pihak.”

sumber: Palestin info (Arabic)
penterjemah: muhajir

Presiden dan kerajaan Turki mengalu-alukan bantahan Erdogan di Davos



Presiden Parti Saadet: Kami sokong kerajaan demi kepentingan Palestin

30.1.2009

Ankara - Pusat Informasi Palestin

Presiden Turki, Abdullah Gul memuji langkah Perdana Menterinya, Recep Tayyip Erdogan yang menarik diri daripada forum Davos setelah beliau dihalang memberi komentar terhadap ucapan Presiden regim Zionis, Simon Peres tentang isu perang di Gaza.

Gul berkata dalam satu sidang akhbar hari ini (Jumaat), “jika berlaku sebarang tindakan buruk terhadap Perdana Menteri Turki, maka tiada siapa boleh mendiamkannya atau tidak mengendahkannya,” sebagai isyarat kepada layanan tidak adil terhadap Erdogan dan apa yang dilakukan Erdogan adalah suatu yang tepat.

Gul menambah Turki adalah negara besar dan berpengaruh di rantau tersebut, yang sentiasa berusaha demi keamanan dan perdamaian. Beliau menegaskan semua pihak patut memaklumi hakikat ini dan mengambil manfaat daripadanya. Jika ada sesiapa yang tidak ingin mengambil faedah daripada peranan Turki, itu masalah dia.

Beberapa orang menteri kerajaan Turki, ketua-ketua parti dan pertubuhan-pertubuhan awam Turki turut mengalu-alukan tindakan Erdogan yang mempersoalkan sikap dualisme pihak penganjur forum Davos, tindakannya menolak alasan Peres dan simpatinya terhadap penduduk Gaza.

Menteri Pendidikan Turki, Husain Shilik berkata bantahan Erdogan adalah tepat sementara Menteri Alam Sekitar Turki, Fisal Arooglu pula menegaskan apa yang dilakukan oleh Erdogan sebenarnya adalah eksperi perasaan rakyat Turki keseluruhannya.

Ketika memberikan komentar terhadap kejadian tersebut, Presiden Parti Saadet Turki, Nukman Kurtulmash turut mengalu-alukan tindakan Erdogan dan meminta agar Erdogan tidak menarik balik pendirian tersebut serta menegaskan partinya akan mendokong pendirian kerajaan bersama-sama dengan rakyat Turki dalam setiap isu yang memberikan kepentingan kepada rakyat Palestin.

Ketua Dewan Perniagaan dan Bursa Saham Turki, Rifat Hisaljikli berkata dalam satu kenyataannya hari ini (Jumaat), “pendirian Perdana Menteri kami sebenarnya menggambarkan perasaan kami keseluruhannya,” sambil menegaskan Erdogan berdiri di pihak yang benar dan adil dalam satu dunia yang menganggap hanya orang yang kuat berada di pihak yang benar.

Ketua Kesatuan Sekerja, Saleem Oslu berkata dalam satu kenyataannya menyokong penarikan diri Erdogan dari forum Davos sambil menegaskan langkah tersebut adalah suara hati rakyat Turki dan kemanusiaan, serta pendirian yang diambil oleh Erdogan adalah pendirian yang mulia ketika beliau menolak dakwaan palsu Peres.


Sumber: Palestin info (Arabic)
Penterjemah: muhajir

Jumaat, 30 Januari 2009

Perisikan Mesir ugut mangsa Palestin yang cedera

Jumaat, 23/01/2009 - Beberapa penduduk Gaza cedera yang menerima rawatan di beberapa buah hospital Mesir dan telah pulang semula ke Gaza berkata pasukan keselamatan Mesir melakukan siasatan terhadap beberapa orang daripada mereka untuk mengetahui tempat membuat roket dan bagaimana senjata diseludupkan ke Gaza.

Portal berita internet Al-Jazeera melaporkan rakyat Gaza yang cedera itu berkata pasukan keselamatan Mesir melakukan siasatan dengan cara yang kasar bahkan mengugut sesiapa yang enggan bekerjasama akan sentiasa diburu dan akan dihentikan rawatan mereka di hospital-hospital Mesir.

Mereka yang cedera itu menjelaskan, setelah kecederaan yang mereka hadapi sembuh sedikit, pihak keselamatan Mesir terus melakukan soal jawab dan menuntut mereka memberikan maklumat tentang kumpulan-kumpulan jihad yang menentang Zionis. Mereka juga dituntut agar tidak lagi memberikan sokongan kepada gerakan HAMAS setelah kembali semula ke Gaza.

sumber : http://www.palestine-info.info/ar/
penterjemah : muhajir

Haneyya : Semua kementerian, institusi dan pejabat kerajaan mula dibuka seperti biasa

Khamis, 22/01/2009 - Kerajaan Palestin dipilih yang diketuai oleh Perdana Menterinya Ismail Haneyya memutuskan bermula hari ini (Rabu 21/1/2009) segala urusan di semua kementerian awam dan institusi-institusi di bawahnya akan beroperasi seperti biasa, suatu tindakan yang dianggap sebagai cabaran jelas terhadap regim Zionis yang melancarkan serangan terhadap Gaza dengan matlamat menghancurkan kerajaan HAMAS.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakap kerajaan HAMAS, Tahir al-Nunu, pihak kerajaan menyeru semua pegawai agar melaporkan diri di pejabat masing-masing bermula pagi esok (Rabu).

Langkah ini diambil bagi memulakan usaha untuk menghidupkan semula aktiviti kehidupan seharian dan bagi membangunkan semula apa yang telah musnah di Gaza setelah 23 hari serangan yang dilancarkan oleh musuh Zionis.

Kerajaan Ismail Haneyya menegaskan ia akan terus menjalankan tugasnya meskipun muzuh Zionis telah memusnah dan meranapkan hampir keseluruhan bangunan-bangunan kementerian kerajaannya. Universiti-universiti dan sekolah-sekolah di Gaza juga turut mengumumkan kesediaannya untuk memulakan operasinya bagi persediaan sesi pengajiannya.

Selasa lalu, satu tunjuk perasaan besar-besaran diadakan di Gaza yang disertai oleh puluhan ribu rakyat Palestin. Mereka menegaskan akan meneruskan penentangan mereka demi bumi Palestin yang dicintai. Mereka juga turut memperlihatkan sokongan mereka yang berterusan kepada gerakan HAMAS dan kerajaan Ismail Haneyya.

sumber: http://www.palestine-info.info/ar/
penterjemah: muhajir

Kerana Gaza, Erdogan berang di Davos: Peres terdiam, Amru Musa bertepuk gembira

Sumber: Islamonline

30 Jan 2009 - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan bangun meninggalkan sidang ekonomi dunia di Switzerland dalam keadaan berang sebagai bantahan kerana tidak diberi masa yang mencukupi bagi menjawab kenyataan yang dibuat oleh Simon Peres, Presiden Israel, yang berucap panjang dan memberikan pelbagai alasan terhadap penyembelihan dilakukan tentera Israel di Gaza.

Dalam sidang mengenai Gaza di forum Davos petang Khamis lalu, Peres bercakap selama 25 minit mengatakan HAMAS lah sebenarnya yang mendorong Israel ke kancah peperangan, kerana ia melancarkan roketnya ke kawasan penempatan Israel. Ketika bercakap, Peres menggunakan nada yang keras dan memandang tepat ke arah Erdogan dari masa ke semasa.

Tiba gilirannya, Erdogan membuat komentar dengan berkata, “Peres lebih berusia daripada saya, namun dia menggunakan perkataan yang keras.” Seterusnya beliau menyambung dan menujukan kata-katanya kepada Peres dengan tegas, “Saya masih teringat kepada kanak-kanak yang terbunuh di tepi pantai, saya masih teringat betapa ramai yang telah anda bunuh di Gaza.” Ketika itu, Peres menyampuk, “mereka juga akan melakukan apa yang kami lakukan jika roket-roket tersebut jatuh di Istanbul.”

Erdogan dengan muka yang merah kerana marah juga menujukan kritikan pedas kepada sebahagian hadirin yang bertepuk tangan terhadap ucapan Peres, “adalah suatu yang amat mengaibkan kamu bertepuk tangan terhadap serangan yang membunuh ribuan kanak-kanak dan wanita yang dilakukan oleh tentera Israel di Gaza.”

Baru lebih kurang 10 minit Erdogan berucap, pengerusi majlis memaklumkan waktunya sudah habis. Dalam keadaan marah Erdogan segera beredar sambil memungut failnya seraya berkata, “terima kasih kerana anda tidak memberi peluang untuk saya bercakap.. Saya hanya bercakap separuh daripada masa yang digunakan oleh Peres.. Saya tidak akan datang lagi ke Davos.”

Ketika Erdogan bangun untuk meninggalkan dewan, Peres kelihatan tergamam berpaling ke kiri dan ke kanan tanpa mengeluarkan sepatah perkataan.

Setiausaha Agung Liga Negara Arab, Amru Musa berdiri dan bertepuk tangan dengan gembira kemudian berjabat tangan dengan Erdogan yang meninggalkan dewan di tengah-tengah tepukan daripada beberapa orang hadirin.

Setelah Erdogan meninggalkan dewan, Amru Musa kelihatan berpaling ke kanan dan ke kiri , lalu Setiausaha Agung Bangsa-bangsa Bersatu memintanya duduk lalu beliau kembali mengambil tempat.

Erdogan berkata dalam sidang akhbar yang diadakan selepas forum tersebut, “Peres berucap selama 25 minit, dalam nada keras dan memandang tepat kepada saya dengan cara yang tidak sesuai dengan kebebasan awam.”

Beliau menambah, “apabila saya berucap, tiada pihak yang memberikan saya peluang untuk mengungkapkan pandangan saya, maka adalah suatu yang tepat saya mengambil tindakan meninggalkan forum tersebut.”

Permohonan maaf Israel

Saluran kedua TV Turki melaporkan Peres memohon maaf daripada Erdogan terhadap apa yang berlaku melalui panggilan telefon, tanpa memberikan penghuraian panggilan tersebut. Agensi berita Anatolia juga mengesahkan berita tentang permohonan maaf tersebut. Ia melaporkan daripada sumber-sumber yang hampir dengan Erdogan bahawa Peres menghubungi Perdana Menteri Turki itu selama 5 minit.

Ketika membuat komentar tentang kejadian tersebut, ketua Persatuan Penentang Zionis di Amman, Layth Shubeilat memuji tindakan Erdogan dengan berkata, “pendirian beliau menampilkan kemajuan dari sudut mengambil pendirian yang membebaskan diri daripada warisan sekular Turki.”

Rabu lalu, Erdogan mengutuk pencerobohan Israel terhadap Gaza dan beliau tidak bersetuju langkah mengkategorikan HAMAS sebagai salah sebuah pertubuhan pengganas. Dalam masa yang sama, beliau menyeru Presiden Amerika yang baru, Barrack Obama supaya mengkaji semula definisi pertubuhan-pertubuhan pengganas yang terdapat di Timur Tengah.

Dalam perkembangan berkaitan, Layth Syubeilat mengkritik kehadiran Setiausaha Agung Liga negara Arab ke forum tersebut bersama-sama dengan Perdana Menteri Israel.

Beliau berkata, “Bagaimana bangsa Arab boleh membenarkan Amru Musa duduk bersama dengan pemimpin Israel.” Beliau juga menambah duduknya Amru Musa setelah Erdogan meninggalkan dewan menyebabkan situasi menjadi bertambah rumit. Beliau juga memberikan komentar dengan berkata bahawa para pemimpin Arab tidak tahu apa yang mereka lakukan.”

Penterjemah: muhajir